Popia Goreng Thai | Thai Spring Roll | Paw Pia Tod

Popia Goreng Thailand - Paw Pia Tod - Thai Spring Roll 


Assalamualaikum. Selamat petang 🌹. Setelah berkurun lamanya tak membuat post baru, baru hari ni kita dapat mengintai blog ni. Memang lama la jugak tak update pape. Plan asal sememangnya nak rajin membuat post sekurang-kurangnya setiap bulan tapi apakan daya, kita mampu merancang Allah yang lebih mengetahui apa yang terbaik.

Alhamdulillah, sudah lebih dari 2 bulan kita meninggalkan bulan Ramadhan. Memang rindu suasana semasa di bulan Ramadhan. Nyaman dan paling best, tak payah fikir nak makan sepenuh-penuh meja pun sebab tahun ni kita berbuka dengan anak kecik je. Cukup dengan buah tamar atau kurma dan sedikit kuih muih je dah cukup mengenyangkan.


Tahun ni Alhamdulillah kita berjaya buat kuih raya sendiri tanpa diselitkan dengan kuih tunjuk. Bukan tak nak tunjuk-tunjuk ni, tapikan bila belek-belek harga dekat balang kuih raya tu rasa seramm sikit. Balang kecik je dah lebih Rm10. Dapatlah sekali hidang. Nak refill kene beli 2 bekas pula. 

Bila kita buat kira-kira kos membeli kuih dengan membuat kuih raya sendiri, makanya ternyata membuat kuih raya sendiri sangat menjimatkan. Lagipun kemanisan gula dapat dikurangkan selain kita tahu apa yang terkandung dalam kuih muih tu.
InsyaAllah kita akan post jugak resepi kuih raya masa akan datang. Jadi bolehlah dijadikan rujukan bagi sesiapa yang nak membuat kuih raya untuk raya haji pula.


Habis dah cite masa bulan pose dan kuih muih, terkeluar lah pula cite masa bulan Syawal pula. Setelah bertungkus lumus untuk menyiapkan kuih raya di penghujung Ramadhan, dan baju raya pun dah siap dipacking awal-awal, maka kita pun mulalah mulakan persiapan untuk menyambut raya pula. Plan asal nak pulang ke kampung seminggu awal sebelum hari raya tapi dugaan datang bertimpa-timpa. 

Kereta kesayangan asyik keluar masuk bengkel je disaat-saat penghujung Ramadhan. Hari demi hari kita tunggu kete kesayangan kita tu elok dan sihat tapi rupanya dugaan yang lebih besar hendak datang rupanya. Buat pertama kalinya kita menyambut hari raya Aidilfitri bersama anak-anak di rumah sendiri je. Walaupun sayu dengar takbir raya dekat rumah tapi syukur sangat dugaan datang semasa kita masih di rumah lagi. Memandangkan bermacam-macam berlaku, kita pun membuat keputusan untuk berhijrah semula ke kampung halaman rembau most wanted. 


Alhamdulillah hari ni Zara dah ditempatkan ke sekolah tadika baru. Sebelum ni Zara di sekolah tadika swasta, tapi di sini Zara bertukar angin ke tadika kemas pula. Cantik warna bajunya dan Zara pun hepi sangat-sangat sebab dapat bersekolah semula dan jumpa kawan baru. Risau sebenarnya bila anak cuti lama-lama ni. Ibunya pun dah nak mula memulakan rutin lama iaitu terjun semula ke dunia kerjaya semula setelah 5 tahun berholiday. Nebes jugak ni nak usik kerja lama sebab selama 5 tahun komputer pun tak pernah usik. Harap-harap dapat lah jumpa button kat laptop nanti 😆.

Ok..tamatlah sudah cite panjang lebar untuk post ni. Melarat-larat cite pasal sendiri la pulak sampaikan cite popia goreng super sedap ni 😊. Series memang sedap tau sebab first time kita makan popia goreng yang berintikan suun yang sudah digoreng bersama ayam cincang. Tak terlalu pedas kerana hanya lada sulah dan lada hitam sahaja yang digunakan. Wangi sewanginya aroma daun ketumbar dan memang boleh kenyang tau kalau dimakan walaupun hanya seketul. Kita tak berapa nak rajin nak buat saiz comel dan saiz kulit popia pun saiz besar, makanya memang besarlah popia goreng kita tu. Cicah pula dengan sos cili thai...yumm memang layan habis.


Resepi daripada IG Marion Grasby & Youtube Hot Thai Kitchen 

Bahan-bahan:-

-kulit popia saiz besar (tutup dengan kain basah untuk mengelakkan kulit popia kering )
-100 gram suun @ glass noodle (direndam dengan paip hingga lembut. Tapis dan potong pendek-pendek)
-3 ulas bawang putih *
-1 sudu biji lada hitam + biji lada putih *
-3 batang akar daun ketumbar *

* ditumbuk hingga semuanya hancur dan sebati

-200 gram ayam cincang
-1 mangkuk lobak merah yang di potong halus dan memanjang
-2 mangkuk kubis yang sudah dicincang
-4 biji cendawan Shitake kering @ segar (kalau guna yang kering, rendamkan dahulu hingga cendawan lembut dan kembang dan cincang halus)
-2 sudu besar sos ikan
-2 sudu besar tepung gandum *
-2 sudu besar air *

* dicampur dan digaul hingga jadi pes (agen pelekat popia)

Cara-cara :-

1. Panaskan kuali dengan minyak untuk menumis. Masukkan bahan yang sudah ditumbuk dan tumis hingga naik bau.

2. Masukkan pula ayam cincang dan kacau hingga bahan mesra.

3. Letakkan semua sayur-sayuran tadi (lobak merah, kubis dan cendawan Shitake ) dan kacau lagi.

4. Masukkan suun yang sudah ditapis tadi dan kacau sebentar sahaja. Tuangkan sos ikan dan kacau hingga semuanya sebati. Tutup api dan sejukkan inti.

5. Ambil 1 kulit popia dan letakkan inti di penjuru. Gulung kemas dan lipat hingga menjadi seperti popia. Letakkan sedikit pes tepung dihujung kulit popia dan lekatkan kulit popia tersebut. Buat hingga inti habis.

6. Tuang minyak yang banyak dan panaskan kuali hingga minyak betul-betul panas. Jangan terlalu panas nanti popia cepat hangus. Nak cek, celupkan sekejap senduk kayu ke dalam minyak, kalau berbuih maka minyak sudah panas. 

7. Goreng popia tadi hingga sedikit coklat dan garing sahaja. Jangan terlalu lama kerana inti sudahpun dimasak tadi. Toskan minyak dan hidangkan. Siap.

#popiagorengthailand
#popiarangup
#popiagoreng

Ulasan

Catatan Popular