Cucur Kentang Rangup

Cucur Kentang / Potato Fritters 


Assalamualaikum. Selamat petang 🌹. Tup tup dah masuk dah kita ke bulan mei. InsyaAllah tak kurang 2 hari lebih je lagi kita umat Islam akan menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak . Bulan yang penuh barakah dan waktu inilah kita kene set target dan berebut-rebut mengerjakan ibadah tak mengira siang dan malam. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini kita dapat mengumpul bekalan untuk akhirat sebanyak mungkin dan terhapus segala dosa-dosa. Amin.


Memandangkan lagi beberapa hari kita nak melangkah ke bulan Ramadhan, mesti ibu-ibu sibuk menyiapkan segala jenis persiapan untuk sesi bersahur dan berbuka kan? Di rumah ni hanya kita sahaja yang bersahur dengan roti atau apa-apa sahaja sekadar mengalas perut. Paling penting waktu sahur ini kita akan minum air lebih dari makan. Ataupun dengan kurma sahaja dah cukup mengenyangkan perut untuk seharian. Salah satu sebab kita suka mengganti puasa pada bulan Rejab hingga Syaaban adalah kerana kita nak latih awal-awal perut untuk berpuasa. Kalau tak, takut perut terkejut pulak kene puasa berterusan nanti. 


Semenjak terbuat stail cucur leper macam ni, cucur stail bulat dah jauhku tinggalkan. Bukan apa, bila kita leperkan adunan cucur masa menggoreng, cucur akan jadi rangup dan proses memasak pun lebih cepat. Tapi kene jaga-jagalah takut terhangit pulak. Sebelum ni pun kita dah buat stail goreng leper ni di menu cucur udang DISINI. Memang sedap dari keluar kuali hingga ke petang. Tapi kerangupan tu dah hilang lah tapi rasa tetap sedap.


Tak lama lagi sesi minum petang akan di 'cut off', maka sesuailah cucur kentang rangup ini dijadikan sebagai kudapan setelah selesai solat terawih nanti. Mesti perut akan lapar kan lepas selesai solat terawih? Ha, kalau kita sememangnya sukakan makanan jenis ringan macam cucur kentang ni berbanding nasi. Lebih kurang macam makan colek la di Kelantan.

Penuh je kedai-kedai jual colek lepas selesai je solat terawih. Bagi kaum ibu yang terikat dengan anak kecil, makanya kita jamu cucur kentang ke kuih muih je lepas solat sambil-sambil mengadap tv.

Kalau nak siapkan bancuhan cucur kentang ni awal-awal pun boleh dan simpan di dalam peti ais. Kita nak kongsi satu tips untuk mengelakkan sayur lebam selepas dikupas kulitnya ialah merendam sayur-sayuran di dalam air sejuk. Sayur akan lebih segar dan rangup bila di masak nanti.



Resepi Cucur Kentang Rangup

Bahan-bahan:-

- 3 ke 4 biji kentang bersaiz besar (dipotong dadu)
- 1 batang lobak merah (dihiris memanjang)
- 1 biji bawang besar (dipotong dadu)
- 3 keping lof daging ayam @ meatloaf Ayamas (dipotong dadu)
- 1 pokok daun bawang (dipotong)
- 2 biji cili besar (dipotong halus)
- 1 biji telur
- air sejuk secukupnya
- garam secukupnya
- 1/2 cawan tepung gandum
- 3/4 cawan tepung beras
- 1/2 sudu teh serbuk penaik

Cara-cara:-

1. Satukan kentang, lobak merah, bawang besar, meatloaf, daun bawang dan cili besar ke dalam mangkuk dan gaul rata.

2. Satukan pula tepung gandum, tepung beras, garam, serbuk penaik dan telur ke dalam mangkuk yang lain. Kacau rata. Masukkan air sejuk sedikit demi sedikit dan kacau hingga adunan menjadi sedikit pekat tapi bukan terlalu cair.

3. Campurkan adunan tepung tadi sedikit demi sedikit dan kacau hanya sekadar untuk menyaluti kentang sahaja. Jangan masukkan sekaligus, nanti cucur akan terlebih tepung. 

4. Sejukkan adunan cucur sebentar di dalam peti ais sementara minyak di dalam kuali dipanaskan.

5. Apabila minyak dah panas, sendukkan adunan dan terus leperkan (kita buat adunan pekat sebab tu di tak leper sendiri). Goreng hingga garing. 

6. Toskan dan sedia untuk dihidang. Siap.

Ulasan

Catatan Popular