Chewy Gooey Yummy Brownies

Chewy Gooey Yummy Brownies


Assalamualaikum. Selamat petang 🌹.  Beberapa jam je lagi tahun akan bertukar dari 2018 ke 2019. Esok akan bertambahlah 1 tahun lagi umur kita semua. Semoga umur kita akan diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT. Amin.

Teringat lagi lebih kurang 6 ke 7 tahun yang lepas, waktu hujung tahun sebegini kita akan menghabiskan banyak masa bercuti bersama husben. Sambil-sambil tu, kita akan menunggu detik 12 malam kerana waktu itulah nak merasa tengok bunga api terang benderang di langit. Sangat cantik dan bunyinya boleh tahan kuat sampaikan nak bercakap pun tak boleh. InsyaAllah, bila anak-anak dah besar sikit bolehlah bawak anak-anak tengok bunga api dari dekat sebab memang seronok kalau dapat tengok ramai-ramai. Orang yang datang pun boleh tahan sesak sebab masing-masing nak melihat konsert sambil berjalan-jalan cari makan. Kalau bawak anak kecil rasanya memang sangat tak selesa dan nak berjalan ke arah kereta mesti berpeluh ketiak dibuatnya.


Memandangkan kita dah tersalah baked kek harijadi Zara, maka kita buat lagi sekali brownies untuk birthday gurl untuk tahun 2018 ni. Alhamdulillah, genap sudah 5 tahun birthday gurl kita. Lusa, semua sekolah akan dibuka dan bermulalah zaman pra persekolahan kakak Zara bagi kelas 6 tahun. 

Zara sememangnya sukakan kek coklat. Jadi memandangkan ibu hanya membuat brownies setahun sekali iaitu hanya pada birthday Zara sahaja, makanya tinggal 2 ketul je lagi brownies dalam tipuwer ibu ni. Brownies yang 'failed' tu ibu dan papa disamping Zara je yang tolong habiskan. Memang sengsara sedikit nak habiskan sesuatu 'air tangan' kalau yang menjadi ni. Tapi berjaya juga habisnya. Dan dosebabkan itu ibu boleh membuat brownies untuk kedua kalinya dan Alhamdulillah sedap, chewy dan wangi baunya.



Setelah mencuba banyak kali jenis brownies, kita sukakan resepi yang ini kerana kita sukakan texture lapisan atasnya yang sedikit tebal aka kedutan brownies dan rasa coklatnya yang sangat menyerlah. Resepi ini wajib dicuba lagi pada masa akan datang tapi sukatan gulanya akan dikurangkan sedikit walaupun kita sudah menggunakan dark chocolate. Kalau kita menggunakan milk chocolate dalam brownies ni, wajib kurangkan sangat-sangat gulanya. Ia akan menjadi super manis melainkan anda peminat manis tegar.

Tips untuk membuat brownies dengan jayanya InsyaAllah ialah 
- Gunakan chocolate masakan yang berkualiti iaitu tinggi kandungan koko di dalamnya. Barulah brownies akan menjadi sedap dan menyerlahkan kedutan yang terpendam di lapisan atasnya.
- Jika mahukan brownies yang lembab, padat dan tidak seperti kek, wajib gunakan gula perang. Memandangkan kita tidak menggunakan gula putih atau gula kastor dalam resepi ni, bolehlah kurangkan sedikit tahap kemanisan brownies dengan mengurangkan sedikit sukatan gula perang.
- Paling penting, suhu oven mesti betul dan jangan over baked brownies jika anda membuat jenis brownies fudgy. Nanti brownies akan menjadi keras dan bolehlah dibaling ke dinding je.


Ada macam-macam idea dan cara untuk menghias brownies. Salah satunya ialah dengan membuat lorekan coklat putih dibahagian atas brownies. Hanya cairkan sedikit coklat masakan putih dan buat sedikit tompokan pada permukaan brownies sebelum membakarnya.

Selain dari itu, cara menabur hirisan kacang almond pun boleh dilakukan. Kita dah buat idea ni sebelum ini diSINI. Kali ini, kita hanya menyusun coklat masakan putih terlebih dahulu dan menindankan coklat putih tu dengan kacang pecan di atasnya. Plan asal nak taburkan je kacang pecan di atasnya, tapi memandangkan kacang pecan dalam tipuwer ni banyak yang pecah, jadi kita pilih yang cantik je lah. 

Kalau nak buat lorekan dengan coklat nutella setelah brownies dibakar pun cantik juga. Tapi pastikan brownies betul-betul sejuk, kalau tak cair dan meleleh coklat nutella nanti. Kemudian, bolehlah hiaskan dengan buah-buahan segar seperti strawberi,kiwi atau buah-buahan jenis masam. Barulah sedap 👍.



Resepi dari Blogger jommainmasakmasak.blogspot.com

Kita buat setengah adunan dari resepi asal.
Loyang 5' x 9'.

Bahan A (adunan coklat):
- 250 gm mentega dipotong kecil (guna mentega Anchor) *
- 400 gm dark chocolate (guna coklat Beryls) *

* Cairkan terlebih dahulu mentega dan coklat masakan dengan cara double boiler atau dengan menggunakan microwave anggaran masa 30saat.
* Kacau adunan coklat ini hingga sebati dan coklat cair sepenuhnya. Ia akan menjadi licin dan berkilat. Sejukkan sebentar.

Bahan B (bahan kering):
- 90 gm tepung gandum (guna tepung gandum Rose)
- 50 gm serbuk koko
-100 gm kekacang dipanggang dahulu dalam oven selama 15-20minit (guna biji kacang pecan dan tak dipanggang dahulu kerana kita letak dibahagian atas sahaja)

Bahan C (bahan basah):
- 5 biji telur saiz A
- 1 sudu teh esen vanilla
- 1 sudu besar coklat emulco (gantikan dengan 1 sudu teh kopi emulco)
- 290 gm gula perang (next time guna 120gm je untuk 1/2 adunan)

Cara-cara:
1. Panaskan oven pada suhu 160 C. Sediakan loyang bersaiz 9X12 inci dan sapukan loyang dengan sedikit butter. Jangan lupa letak alas dasar loyang dan tepi loyang dengan kertas minyak
2. Ayak tepung gandum bersama serbuk koko.
3. Dalam bekas, pukul telur, esen vanilla, coklat emulco dan gula perang dengan menggunakan whisk hingga gula larut.
4. Kemudian tuangkan adunan coklat kedalam adunan telur tadi.Kacau rata.
5. Seterusnya tuangkan adunan tepung ke dalam adunan. Kacau adunan dengan spatula menggunakan kaedah kaup balik dengan cepat.

* Jangan terlebih pukul adunan, cukup sekadar ia rata dan bersatu.

6. Tuangkan adunan ke dalam loyang dan ratakan adunan. Masa ni nak tabur coklat ke, tabur kacang ke bolehlah dibuat masa ni.
7. Bakar adunan pada suhu 160C selama 45 minit atau sehingga adunan masak dengan sempurna. (Kalau setengah adunan bakar selama 25 ke 30minit je).
8. Setelah masak keluarkan dari oven. Rehatkan atau biarkan ia sejuk anggaran 10 minit.

* Permukaan brownies akan mengeras bila ia sejuk, oleh itu di nasihatkan untuk memotong brownies dengan segera.

Ulasan

Catatan Popular