Lemon Curd Pavlova

Lemon Curd Pavlova 


Assalamualaikum. Selamat malam 🌹.  Tinggal sebulan lebih je umat Islam nak menyambut Bulan Ramadhan yang mulia. Mesti masa kecederaan macam sekarang ni ramai yang berlumba-lumba puasa ganti kan? Termasuklah empunya badan ni. 😊. Bukan tak nak ganti awal-awal, tapi kita memang suka puasa ganti last minit sebab nak latih perut supaya tahan masa Bulan Ramadhan nanti. Takdelah nanti perut kita rasa nak gastrik pulak bila tiba bulan puasa yang sebenar nanti.



Kalau kita berpuasa, selalunya kita lebih suka berbuka dengan makanan manis macam kuih-muih dahulu. Nanti takdelah perut penuh diisi dengan nasi dan air je. Jadi, salah satu option makanan manis yang menjadi favourite Zara ialah Pavlova ni. First time tau kita buat pavlova ni betul-betul menjadi dari segi texture dan rasa yang tak terlalu manis. Tapi opkos tetap manis jugak. Bila pavlova dimakan bersama lemon curd ni rasa manis tu takdelah keterlaluan sebab lemon curd ni kita buat masam lebih sikit. Memang ngam sangatlah 😍.



Selalu kalau orang buat pavlova, mesti nak timbunkan atas pavlova tu dengan buah-buahan kan? Macam trend je buah stoberi menjadi buah yang wajib diletak sebagai hiasan. Memandangkan bajet kita tengah ciput dan kita tetap nak makan pavlova jugak pastu pavlova kat luar mahal (bajet takde sebenarnya 😆), option yang kita adalah gandingkan sesuatu yang manis dan masam tapi wajib bajet ciput. Belek punya belek dalam pakcik gugel dan utube, ternampaklah kita video Nigella dan Lemon Pavlovanya. Lebih kuranglah tajuk video tu. Tadaaa...idea yang sangat best dan lain dari lain. Kita cuma gunakan idea dari Nigella je tapi resepi pavlova dan lemon curd tu kita tengok dalam group masakan fb Masak Apa Hari Ni. Dah lah ngam masam manis pavlova tu, kita tabur biji labu dan gajus masin di atasnya. Krup krap krup krap sambil-sambil macam makan aiskrim rasanya.



Anggaran kos rasanya tak sampai pun 30 hengget. Telur dalam 4 biji sebab kita nak buat saiz besar pinggan makan. Lemon dalam 3 biji saiz besar dan kekacang tu sepeket baru 2 hengget dekat kedai eco. Dah siap di panggang dan di salut garam lagi. Cuma yang mahalnya ialah whipping cream. Dalam resepi Nigella, dia guna UHT Whipping Cream (dairy punya) tapi memandangkan rumah kita jenis panas, nanti whipping cream tu akan cepat cair kalau guna yang jenis dairy. Jadi kita guna je Whipping Cream jenis non dairy supaya adalah bentuk dan tak cepat sangat cair kalau letak dekat luar peti ais. Whipping cream non dairy ni rasanya sedikit manis jadi penambahan guna tak perlu dan putar je sampai je dia kental sekental gel rambut yang boleh buat pacak-pacak tu. 1liter kos lebih kurang 8 hengget lebih je dekat bakeri. Memang banyak dan bolehlah guna untuk dessert lain pulak pasni.



Diilhamkan daripada utube Nigella Lawson. Resepi Pavlova dari FB Masak Apa Hari Ni dan Lemon Curd dari Anna Olson

Pavlova

Bahan-bahan:
- 4 biji telur (ambil putih telur sahaja)
- 200 gram gula icing (kita guna 100 gram gula icing, 100 gram gula kastor)

- 2 sudu besar tepung jagung
- 1/2 sudu teh jus lemon/cream of tartar (kita guna cuka masakan)
- * kita tambah 1 sudu teh esen vanila

* next time kita nak gunakan gula icing sepenuhnya, jus lemon dan parutan kulit lemon.

Cara-cara:-

1. Panaskan oven suhu 180°C terlebih dahulu. Pastikan semua peralatan seperti mixer, mangkuk bebas minyak, air dan habuk. Boleh sapukan jus lemon pada mixer dan mangkuk untuk pastikan peralatan betul-betul bersih.

2. Masukkan putih telur ke dalam mangkuk dan putar menggunakan mixer. Kita guna hand mixer je. Putar hingga putih telur menjadi soft peak. 

3. Campurkan tepung jagung dan gula icing . Kacau hingga semuanya bercampur. Sambil putih telur diputar, taburkan lebih kurang 1 sudu besar gula icing tadi dan putar lagi. Buat hingga semua gula habis di letakkan di dalam mangkuk.

4. Putar adunan ini hingga betul-betul kental selama lebih kurang 10 hingga 15minit.Pastikan semua gula telah sebati bersama putih telur. Untuk pastikan, rasa dengan jari dan jika ada terdapat butiran gula lagi, sambung putar lagi hingga putih telur tadi menjadi warna putih berkilat dan kental.

5. Setelah adunan kental, masukkan esen vanila dan cuka masakan dan kaup balik adunan hingga adunan sebati.

6. Tuang adunan ke dalam dulang pembakar dan bentukkan adunan mengikut citarasa sendiri.

7. Turunkan suhu 130°C sebelum di masukkan ke dalam oven. Masukkan dulang pembakar ke dalam oven dan bakar selama 1jam 30minit. (Kita letak dulang di rak ketiga supaya bahagian atasnya tidak menjadi coklat.)

8. Setelah masak, sejukkan di dalam oven dengan merenggangkan pintu oven sedikit. Biarkan hingga pavlova betul-betul sejuk. Siap.

* sapukan lemon curd terlebih dahulu dan letakkan whipping cream yang telah diputar di atas lemon curd tadi. Taburkan kacang gajus dan biji labu yang telah dipanggang terlebih dahulu.



Lemon Curd

Bahan-bahan:-

- 4 biji telur saiz A
- 1 cawan butter
- 3/4 cawan gula kastor
- 1 cawan jus lemon (lebih kurang 3 biji lemon saiz besar)
- sedikit parutan kulit lemon
- 1 sudu teh tepung jagung

Cara-cara:-

1. Satukan semua bahan dan kacau hingga sebati.

2. Cara Anna Olson ialah panaskan semua bahan tadi menggunakan api kecil dan masak hingga adunan menjadi pekat dan likat. Cara kita ialah adunan tadi di masak menggunakan double boiler. Masak hingga adunan menjadi pekat dan berwarna kuning keemasan.

3. Masukkan ke dalam bekas kering dan simpan di dalam peti ais setelah disejukkan terlebih dahulu. Siap.

Ulasan

Catatan Popular