Panna Cotta Vanila

Panna Cotta Vanila


Assalamualaikum. Selamat pagi 🌹. Pejam celik pejam celik tup tup dah masuk bulan Syaaban dah. InsyaAllah lebih kurang 2 minggu lebih je lagi kita akan bertemu dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak. Dah dekat nak puasa ni bila selak je muka buku, tiap-tiap hari orang dok post pasal kuih raya. Macam-macam stail, macam-macam rupa bentuk, dan tahun ni dah macam kaler pelangi je kaler kuih raya tahun 2019 ni. Hipster sangat 😊. Silap hari bulan raya tahun ni dapat merasa kot nasi impit coklat ditabur cheese lagi. Nasi impit, lontong cicah pulak dengan kuah kacang lah juadah paling sedap di makan masa hari raya. Tambah pulak kalau ada rendang daging nismilan. Memang mantap habis 👍. Kalau jenis dari pakai kebaya ke kelawar pun tak per..😆 asalkan rendang ado maso rgayo nanti..Yum yum..


Memandangkan sekarang musim panas membahang kat blah utara ni, pekena makanan yang jenis sejuk ni memang laju je masuk ke anak tekak ni. Belek punya belek resepi screenshot dalam hp ni, tetiba nampak sesuatu yang senang nak dibuat dan kompem sedap punya. Hari tu masa pergi ke bakeri yang jual lek roti, adalah nampak panna cotta ni. Vanila panna cotta saiz xs cawannya. Nampak sedap pulak tu dengan deco cantik atas puding lagi. Dekali tengok harga RM7 !!!! Mak datok mahal kemain. Rasenya 2 kali sudu dah habis dah. Baiklah buat sendiri dari membazir bayo rege tu. Lagipun bukan anak tekak kita je nak diisi. Anak-anak pun nak rasa jugak. Kos tak sampai pun Rm20 dapat 3 mangkuk saiz tapak tangan. 1 mangkuk bersudu-sudu pun lambat jugak habisnya. Puas hati, jimat dan paling penting air tangan ibu 😊.



Panna cotta ni memang sesuai sangat nak dijadikan hidangan berbuka puasa nanti. Lagipun boleh dibuat awal-awal dan disejukkan dalam peti ais. Masa nak berbuka tu baru dihidangkan pada keluarga. Sekali sekala tukar selera ke western pun sedap jugak. 

Panna cotta ni sebenarnye boleh divariasikan dengan pelbagai perisa. Kalau suka nutella , kita letaklah nutella sebelum tuang ke dalam cawan atau bekas comey-comey tu. Kalau ada buah-buahan dekat rumah macam mangga, bolehlah dikisar dahulu dijadikan puri @ puree, dan dicampur bersama larutan galetin. Ada orang suka buat 2 layer, satu layer perisa buah-buahan dan satu lagi dibiarkan perisa original. InsyaAllah ada masa, ongkos bolehlah cuba buat stail layer pulak. Kita dah buat banyak kali sebenarnya sebelum ni. Cuma ini kali pertama kita post dalam blog. Sebelum ni semuanya ada dalam ig menudapozati.


Satu tips kita nak kongsikan tentang nak membuat panna cotta ni ialah pastikan serbuk galetin dilarutkan atau dikembangkan terlebih dahulu sebab ia adalah proses paling penting. Kalau tak kembang betul-betul, takut nanti puding tak set ke atau menjadi cair walaupun dah lama disimpan di dalam peti ais. Proses memanaskan susu segar bersama whipping cream hanya sekejap je. Bukanlah sampai campuran susu tadi mendidih membuak-buak dalam periuk tu. Cukup sekadar takat simmer sipi-sipi manja je. Dah panas sikit tutup api baru boleh dimasukkan larutan galetin tadi. Kacau punya kacau, tuang dalam bekas, sejukkan dan dah siap. Sukatan gula pula terpulang tahap kemanisan yang korang suka. Boleh je rasa masa proses memasak campuran susu krim tadi. Ejas bagi ngam, selesai satu menu.


Resepi dari FB Cikgu Azlina Ina

Bahan-bahan:-

- 3 cawan susu segar ( guna Dutch Lady Full Cream )
- 1 cawan whipping cream UHT
- 1 sudu besar serbuk gelatin
- 1/2 cawan gula pasir ( guna 1/4 cawan gula halus )
- 1 sudu kecil esen vanila 
- 3 sudu besar air panas

Cara-cara:-

1. Campurkan serbuk gelatin bersama air panas. Kacau hingga serbuk betul-betul sebati. Biarkan sebentar.

2. Masukkan susu segar bersama gula di dalam periuk. Panaskan sebentar sehingga terdapat buih-buih kecil di sekeliling periuk. Kacau hingga gula larut. 

3. Masukkan pula whipping cream dan esen vanila. Kacau sebentar sahaja. Tutup api.

4. Masukkan campuran gelatin tadi ke dalam periuk. Kacau hingga sebati.

5. Tuang ke dalam bekas atau gelas. Tunggu hingga sejuk dan barulah dimasukkan ke dalam peti ais. 

6. Sejukkan selama 5-6 jam atau hingga panna cotta menjadi set.

Ulasan

Catatan Popular