Kuih Sagu Mata Ikan @ Kuih Sagu Merah @ Kuih Bronok

Kuih Sagu Mata Ikan / Kuih Bronok / Kuih Abok-abok Sagu


Assalamualaikum. Selamat petang 🍒.  Alhamdulillah ada jugak masa terluang lepas sebulan lebih terperam blog kesayangan ni. Sejak berhijrah ke kampung most wanted ni, rezeki datang mencurah-curah. Alhamdulillah. Bukan tiba-tiba rumah bertingkek-tingkek tau, cuma dapat juga terjun ke dalam dunia kerja semula. 

Walaupun jauh hampir 100km sehala, atau lebih tepat lagi 94km pergi je tapi happy tetap happy. Mana tak happy, selama ni dunia hanya di dalam rumah selama 5 tahun lebih dan kawan-kawan pun dengan anak-anak tapi tiba-tiba berubah sekelip mata. Alhamdulillah dapat juga merasa seolah-olah gaji pertama semula walaupun hanya setengah bulan.



Memandangkan pergi kerja sebelum subuh dan balik selepas isyak, maka nak usik senduk, periuk belanga memang tak dapat dah. Hanya bantal empuk, tilam terbentang luas je yang dok bermain-main dalam kepala sewaktu perjalanan pulang ke rumah. Jadi, posting kali ni hanya akan termasuk kategori 'throwback' je lah nampaknye.

Cerita pasal posting kali ini, kita tiba-tiba teringin nak makan salah satu kuih tradisional Melayu iaitu Kuih Sagu Mata Ikan atau ada yang memanggil dengan nama panggil lain Kuih Sagu / Kuih Bronok. Kuih ni antara salah satu kuih favourite kita tau. Kuih sagu mata ikan diberi nama dan paling sedap dimakan sewaktu sejuk mahupun suam-suam kuku. Manis-manis buah dan terasa sedikit lemak masin kelapa parut muda. Yumm.😍


Sebelum ni kalau kita buat kuih sagu mata ikan ni mesti asyik tak menjadi je mengikut kriteria yang kita nak iaitu sedikit pejal dan boleh berbentuk segiempat ataupun bulat. Asyik terlembik lah atau butiran sagu masih ada kalau kita kurangkan sukatan airnya bila masa kita mula-mula belajar buat kuih ni dulu. Kalau dulu, kita masak atas dapo je dan terus sejukkan dalam bekas. Tapi lepas kita jumpa resepi versi kukus selepas viral dalam fb satu ketika dulu, memang kompem2 menjadi kuih sagu kegemaran kita ni. InsyaAllah. 



Kita sebenarnya lebih suka buat kuih sendiri daripada beli dekat luar. Jimat pun lebih jimat dan paling penting sukatan gula boleh dikurangkan mengikut citarasa dan anak tekak sendiri. Harga sagu mata ikan yang mentah pun murah sangat-sangat. Sepeket besar baru RM2.10 je. Kalau disukat dapat lebih kurang secawan. Memang nampak sedikit, tapi selepas dicampur bersama air dan gula, memang dapat banyak sangat-sangat.

Sesuai sangat dijadikan jamuan untuk pot luck ke, jamuan hari raya ataupun disaji sebagai sarapan pagi atau minum petang. Mudah pun mudah, murah dan sangat menjimatkan poket dikala hujung bulan sebelum gaji dibank in ke dalam akaun anda. 😅.


Bab pewarna terpulang pada citarasa individu. Ada orang tak sukakan pewarna makanan, ada orang hanya gunakan pewarna dari tumbuhan semulajadi. Macam kita buat hari tu, kita pakai je perisa ros yang selalu orang buat sirap tu. Bolehlah letak ikut citarasa sendiri jugak. Ada orang sukakan warna yang terang, ada juga suka warna pudar sahaja. 

Tips nak bagi kuih sagu yang cantik dan mudah dipotong ialah sagu direndam sekejap bagi memudahkan proses memasak. Rendam sekejap je. Tapiskan dan masak dalam air mengikut sukatan resepi yang di bawah. Kita suka gunakan air pengukus yang diletak daun pandan untuk memasak kuih yang jenis kukus ni. Baunya akan melekat pada kuih dan semerbak harum satu rumah.😆.  Lepas masak sagu tadi sampai separuh masak, bolehlah dituang ke dalam bekas yang hendak tahan untuk dikukus. Kukus hingga sagu putih tu hilang atau menjadi jernih. Kalau sagu tu matanya berwarna putih, maka sagu tu belum masak sepenuhnya. 



Resepi daripada FB Seismik 

Bahan-bahan

- 2 1/2 cawan air
- 1/2 cawan sagu putih
- 3/4 cawan gula kastor
- 1 sudu kecil esen perisa sirap ros
- 2 helai daun pandan
- 1 cawan kelapa parut
- 1/2 sudu kecil garam

- Minyak masak

Cara-cara:
1. Di dalam periuk, masukkan air, sagu, gula, perisa ros dan daun pandan. Renehkan hingga separuh masak. Tandanya ialah jika masih ada sagu bermata putih bermakna sudah separuh masak. Tutup api.
2. Sapukan loyang dengan minyak. Masukkan adunan sagu dan kukus selama 20 minit. Kemudian, sejukkan 20 minit. Kemudian, sejukkan sehingga menjadi keras.
3. Gaul kelapa parut bersama garam.
4. Potong kuih sagu dan salutkan dengan kelapa parut.
5. Siap.

Ulasan

Catatan Popular