Puding Triffle

Puding Triffle


Assalamualaikum. Selamat pagi 🌹.  Alhamdulillah no more monday blues sebab hari ni minggu kedua dapat berehat dari alam pekerjaan. Tapi kalau berterusan cuti panjang pun rasa tak best jugak kan. Yelah, mana nak datangnya duit kalau tak bekerja. Anak-anak lah yang paling hepi sebab celik je mata ibu ada dekat sebelah sambil tersenyum je kat dia. 

Lepas tu bolehlah berkepit je sepanjang masa. Kalau tak, asyik berkepit dengan uwan dan atok je sampai kadangkala anak terutama nawfal tersasul panggil uwan dekat ibunya ni 😅. Maklumlah uwan dah jadi orang favourite dia sekarang ni. 



Sebelum terlupa dan berlalu perginya bulan Ogos iaitu bulan kemerdekaan kita, kita nak mengucapkan selamat hari jadi abah yang ke 61. Semoga umurmu diberkatiNya dan sentiasa berada dalam rahmat-Nya. Mudah-mudahan kita sekeluarga dipertemukan di dalam Syurga Firdaus satu hari nanti.  Aaminn.

Hampir 2 bulan berlalu kita dan anak-anak berkampung di most wanted. Rindu memang rindu dengan rumah di utara tapi apakan daya sekelip mata semuanya berubah dan kita pun tengah mencuba mencari rezeki di sini pula. Mudah-mudahan ketemu tempat yang sesuai dan paling penting dapat meluangkan masa bersama keluarga. 


Alhamdulillah hidup di sini semakin stabil dan dah cuba - cuba untuk menyambung semula aktiviti memasak dan berexperimen dengan resepi-resepi viral pula. Buat masa sekarang kita hanya share resepi yang terperam dalam memori hp je dulu. Bila kita tengok semula gambar-gambar ni, teringat kembali akan kesedapan puding triffle yang cair di dalam mulut.

Rasa manis yang sedang elok, masam dan lemak disulam pula kekenyalan nata de coco bersama buah-buahan koktail, memang serasi semuanya apabila digabungkan bersama di dalam satu suapan. 😍. Kita sukakan bau puding kastad yang berada di lapisan kedua. Wangi dan diselang-seli bersama jeli raspberi dibahagian atas puding. Yummm❤.


Kita mula berkenalan dengan Puding Triffle ni pun waktu pot luck masa zaman mula-mula kerja dulu. Ofismate pulak hidangkan Puding Triffle ni dalam balang kaca lutsinar. Memang menyerlahlah keanggunan puding triffle ni berbanding hidangan lain di atas meja tu. Sebijik macam kita buat ni cuma masa tu kek gulung yang digunakan adalah kek gulung pandan kalau tak silaplah.

Cara nak buat puding triffle ni senang sangat-sangat. Cuma perlukan penggunaan bahan yang lebih sikit je macam puding triffle selalunya akan dilapisi dengan kek sebagai base. Kek nilah yang akan menyerap lembapan jus buah-buahan koktail. Part kek ni terpulang nak buat sendiri atau beli je dari kedai. Macam kita, kebetulan ada jualan kek gulung coklat yang murah, jadi kita pun borong sampai 2 bungkus kek gulung coklat sekaligus.

Lapisan seterusnya adalah lapisan kastad. Untuk membuat puding kastad ni, mana-mana resepi pun boleh digunakan terpulang pada citarasa individu. Apabila lapisan kastad sudah sedikit mengeras, bolehlah dituangkan lapisan jeli pula di atasnya. Perisa jeli pula boleh dipelbagaikan mengikut citarasa sendiri juga. Ada yang sukakan jeli mangga, ada pula yang sukakan jeli perisa original. Maka, gunakan apa yang ada di rumah je. Kita beli jeli perisa raspberi sebab kita nakkan warna merah menyala tu.


Resepi daripada FB Azlina Ina dan video Rasapop.

Bahan-bahan
- 2 bungkus kek swiss roll @ kek gulung coklat (perisa terpulang pada individu) - potong kek setebal 1 inci dan susun kek ke dalam bekas kaca. Kemudian, letakkan sedikit air dari buah-buahan koktail tadi ke atas kek di dalam bekas kaca. 

Puding Kastad 
- 2 1/2 cawan susu segar @ 1 tin susu cair
- 1 1/2 cawan air buah-buahan koktail
- 1 cawan air masak
- 1/2 cawan gula halus
- 6 sudu besar tepung kastad (jenama birds custard)

Cara-cara 
1. Masukkan semua bahan di atas ke dalam periuk dan kacau hingga semuanya larut dan sebati.
2. Setelah sebati, barulah panaskan adunan di atas dapur masak dengan api yang perlahan.
3. Kacau adunan kastad hingga menjadi sedikit likat dan berubah warna kuning keemasan atau warna jagung. 
4. Apabila kastad sudah masak, terus tuangkan kastad tadi ke atas kek yang sudah di susun ke dalam bekas kaca.
5. Biarkan puding kastad sedikit sejuk, dan kemudiannya baru ditaburkan pula buah-buahan koktail. Terpulang hendak meletakkan buah-buahan koktail sebanyak mana pun mengikut citarasa sendiri.

Jeli Raspberi
- 10 gram serbuk agar-agar jeli perisa raspberi.
- 1.2 liter air
- 3/4 cawan gula halus

Cara-cara 
1. Campurkan semua bahan di atas dan kacau hingga semuanya larut.
2. Masakkan di atas api sederhana hingga adunan jeli mendidih. Biarkan adunan jeli sedikit suam.
3. Kemudian baru dituangkan ke atas buah-buahan koktail tadi.
4. Sejukkan puding triffle sebentar dan kemudian baru di sejukkan sepenuhnya  ke dalam peti ais. Jika suka, bolehlah ditambahkan lagi lebihan buah-buahan koktail tadi di atas jeli. Atau boleh juga diletakkan whipped cream di bahagian atas sekali. Lebih berlemak berkrim dan lebih elegan puding triffle nanti. Siap.

Ulasan

Catatan Popular