Nasi Lemak Sambal Sotong


Nasi Lemak Sambal Sotong

Assalamualaikum. Selamat petang 🌹. Lagi beberapa hari lagi kita akan memasuki bulan Rejab. Tik tok tik toi kejap je masa berlalu. InsyaAllah lebih kurang lagi 2 bulan kita akan memasuki bulan mulia Ramadhan Al-Mubarak. Masa inilah kita bizi mengganti puasa yang ter'miss' masa tahun lepas. Kalau sesiapa yang rajin tu mesti awal-awal dah habis puasa gantinya. Kita pulak, selalunya lah masuk je bulan Rejab, bermulah marathon puasa ganti. Kalau dah masa kecederaan tu, memang puasa straight je sampai masuk bulan Ramadhan. Tak sempat berjoli makan sakan. 

Ingat lagi, tahun lepas mengganti puasa paling lama. Lebih dari 30 hari kerananya mengganti puasa semasa pantang anak kedua. Memang mencabar dan berat badan memang susut mendadak. Puasa ganti je dah 30 hari, campur dengan puasa sebelum tu yang tak larat nak ganti masa mengandung lagi. Kira-kira punya kira memang tak payah diet macam orang lain dah. Terdiet tanpa sengaja. Anak menyusu lagi dan baju-baju sebelum kawen semua boleh dah pakai. Siap longgar lagi. Alhamdulillah selesai dah bab tu. Kali ni back to normal, puasa ganti seperti biasa.


Tercetusnya menu nasi lemak ni disebabkan terbelek gambar lama dalam blog ni. Lama tak lama pun, stakat tahun lepas je. 😆. Maklumlah amatur lagi. Tu pun dah nak semput post menu. Hajat di hati nak post setiap hari, tapi apakan daya banyak masa pulak nak kene amik sebab gambar nak kene edit dulu dan menaip panjang menjela macam ni. Masa anak-anak tido lah baru boleh up post di sini. Kalau tak, memang anak join menaip sekali. Nanti resepi tah kemana, gambar tah ke mana. 


Sebelum ini, kita masak Nasi Lemak Pandan Sambal Sotong Kering - DISINI. Kali ini kita masak nasi lemak biasa je dan digandingkan dengan sambal sotong biasa je. InsyaAllah jika ada rezeki nak juga cuba memasak sambal sotong kembang. Teringat pula kat kampung sebab sambal sotong kembang ni menjadi menu masakan mak. Setakat ni, tak pernah lagi membeli sotong kembang. Nak siang macam mana pun tak tahu lagi. Kene katam dulu dengan mak, baru boleh post resepi dekat sini. Kali ni, kita tak letak kacang sebab penuh sangat dah pinggan nak makan. Ada telur mata goyang, ikan bilis goreng, hirisan timun, sambal nasi lemak seringgit dan juga star of the show Sambal Sotong ❤.


Ada satu tips kita nak kongsikan disini. Jika ada lebihan nasi lemak dalam periuk nasi, jangan risau tau sebab kita boleh buat nasi lemak goreng dan rasanya sangat sedap dan berlemak-lemak. Ha..lepas tu bolehlah work out satu padang kasi segala ternakan lemak tadi nyah dari badan. Kalau tak, jarum timbang di penimbang kompem naik mencanak.

Satu lagi tips, jika sukakan aroma yang semerbak semasa memasak nasi lemak, bolehlah dilemparkan seinci halia dan hirisan bawang merah berserta 2 helai daun pandan yang disimpul rapi. Tetapi terpulanglah selera masing-masing. Ada yang tak sukakan halia, bolehlah diabaikan halia tu dan letak daun pandan sahaja. Tapi kita suka letak halia, bawang merah, daun pandan dan 1 kotak santan pekat. Kalau rajin, kita campurkan susu cair dan santan kotak supaya nasi lemak tak terlampau berminyak.


Resepi Nasi Lemak

Bahan-bahan:

- 2 cawan beras - basuh sehingga bersih dan toskan (untuk 2 orang)
- 2 helai daun pandan - disimpul
- 1 biji bawang merah - hiris nipis (optional)
- 1 inci halia - hiris kasar (optional)
- 1 kotak santan KARA
- sedikit garam
- air secukupnya (anggaran 1 cawan)

Cara-cara:

1. Campur bahan di atas dan gaul sebentar supaya semuanya sebati.

2. Masukkan ke dalam periuk nasi dan masak seperti nasi biasa.

3. Apabila sudah masak, kacau supaya nasi gebu dan tidak berketul. Siap.


Resepi Sambal Sotong

Bahan bahan:


- semangkuk sotong - dibersihkan dan ditos
- 1 senduk besar cili kisar
- 1 biji bawang besar - hiris kasar
- 1 sudu besar gula
- sedikit garam
- 1 keping asam keping

- 1 sudu besar sos tiram

Bahan kisar:
- 2 biji bawang besar
- 5 ulas bawang putih

Cara cara:


1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga sedikit wangi dan kemudian masukkan cili kisar. 


2. Tumis sehingga cili masak dan pecah minyak.Semasa ini, bolehlah masukkan asam keping.

3. Masukkan gula terlebih dahulu supaya warna sambal menjadi cantik. Letakkan sos tiram. Kacau sebati dan bolehlah masukkan sotong yang sudah ditoskan tadi. Sotong akan mengeluarkan sedikit air jadi air tidak diperlukan melainkan anda inginkan kuah yang cair.
4. Masukkan garam. Sesuaikan rasa dan tutup api kerana sotong hanya masak sekejap sahaja. Jika tidak sotong akan liat dan keras.




Resepi Sambal Nasi Lemak Seringgit dari Masak Apa Hari Ni

Bahan-bahan:

- 20 tangkai cili kering  - dibasuh dan direbus sehingga lembut *
- 1 ulas bawang putih *
- 2 ulas bawang merah *
- 1 labu bawang besar *
* kisar hingga lumat
- 1 labu bawang besar dihiris nipis (untuk menumis)
- gula melaka secukup rasa (gantikan dengan brown sugar)
- 1 sudu besar gula putih
- garam secukupnya
- 2 helai daun pandan disimpul
- 1 sudu teh pes asam jawa adabi (dibancuh dengan 4 sudu air)

Cara-cara:

1. Masukkan minyak lebih kurang 1/4 cawan ke dalam kuali. Tumiskan bawang besar dihiris bersama daun pandan. Masak sehingga naik bau dan bawang menjadi layu.

2. Kemudian, masukkan pula bahan kisar dan masak cili sehingga pecah minyak dan sedikit garing.

3. Tuangkan air asam jawa tadi dan kacau rata. Biarkan sebentar selama lebih kurang seminit, barulah masukkan gula melaka dan gula putih. Kacau rata.

4. Perasakan dengan garam secukup rasa. Kacau sambal hingga semuanya sebati. Jika sambal terlalu kering, tambah sedikit air dan masak mengikut kepekatan sambal yang disukai. Siap.

5. Sambal akan lebih sedap jika dibiarkan semalaman.

#sambalsotong
#nasilemaksotong

Ulasan

Catatan Popular