Puding Roti Karamel
Puding Roti Karamel - Caramel Bread Pudding
Assalamualaikum. Selamat hujung minggu 🌹. Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar dan masih lagi dalam proses pemindahan rumah dari kawasan kampung ke pinggir bandar. Proses terkini ialah diperingkat akhir iaitu untuk mengangkut perabot berat dan besar dengan lori. Tapi lori pon tak cari lagi.
Rumah baru dah masuk hampir 3 minggu. Sangat selesa dan paling penting tak perlu dah membuka lampu di siang hari sebab rumah baru ni sangat cerah dan sinaran matahari memang memancar-mancar masuk ke dalam rumah. Tambahan pula rumah ni betul-betul ditutupi pokok besar. Jadi angin sejuk waktu petang memang sangat nyaman sampaikan mata asyik nak lelap je sambil melihat dedaun dan burung yang rajin sungguh 'menyanyi'.
Berbalik pada menu kali ini setelah lama menyepi iaitu Puding Roti Karamel. Puding ni rasanya tak ubah dari Puding Karamel yang selalu kita tu cuma texturenya sedikit kental tetapi lembut sama macam puding karamel yang biasa. Lebih enak jika dimakan sejuk terutama waktu panas terik macam sekarang ni.
Puding roti karamel ini sebenarnya dibuat pada malam 30hb Apr hari tu tetapi 1 may baru puding ni disimpan di dalam peti ais. Kita saja biarkan puding ni masak hingga habis masa dan biarkan je semalaman dalam oven sebab mata tak larat nak tunggu sejuk. Pagi keesokkannya puding masih suam sebab berendam dalam air panas malam tadi. Kita menggunakan kaedah 'Bain Marie' lebih kuranglah ejaannya.
1 May adalah ulangtahun perkahwinan mak dan abah yang ke 36 tahun. Jadi kita raikan hari ni dengan puding roti karamel yang lembut, lemak dan manis ni. Walaupun kita berjauhan, anakandamu mendoakan agar perkahwinan mak abah kekal hingga ke Jannah, diberkati dan dirahmati Ilahi. Amin.
Puding ni kita letak dalam peti selama seminggu dan tetap sedap. Kita makan puding roti karamel ni sampai 5 May iaitu harijadi tuan blog ni 😆. Nak jugak bagitahu. Kita tak sempat nak mem'baking' kek pun sebab bizi mengemas rumah. Lagipun 9 May ialah Pilihan Raya ke 14. Wajib balik kampung dan dalam masa yang sama kita pun bizi mengganti puasa. Memang penuh jadual kita bulan May ni.
Kali ini kita menggunakan roti sandwich butterscotch sebab roti ni je yang ada dalam rumah. Nak beli roti putih malas pula. Jadi sebab tu warnanya agak kekuningan. Baunya lebih harum dan tahap kemanisannya patut dikurangkan lagi sebab puding ni sedikit manis.
Kalau menggunakan roti putih bolehlah ikut sebijik resepi asal tetapi memandangkan roti butterscotch ni juga rasa manis jadi kita terlupa nak kurangkan sukatan gulanya.
Resepi dari Blogger secubitgaramnor67
- 2 keping roti gardenia butterscotch
- 1 tin susu cair
- 5 sudu besar gula putih (gantikan dengan 2 sudu besar dulce de leche - next time guna 1 sudu besar sahaja)
- 1 sudu teh esen vanila
- 5 biji telur gred A (7 biji telur gred C)
- 250 ml air
- 250 ml air
Untuk gula karamel:
- 5 sudu besar gula putih
- 3 sudu besar air
Cara-cara:
1. Mula-mula kita akan membuat gula karamel dahulu untuk diletakkan di lapisan bawah puding. Panaskan oven 180°C.
2. Panaskan kuali dengan api kecil dan masukkan gula putih dan air.
3. Jangan kacau dan biarkan gula larut sepenuhnya. Kemudian, tunggu sehingga larutan gula bertukar warna ke coklat keemasan. Hati-hati kerana gula mudah hangus. Tutup api dan tuangkan gula karamel ke dalam acuan. Ratakan.
4. Pukul telur hingga semuanya sebati. Jangan terlebih pukul. Ketepikan. Panaskan susu cair dan gula hingga gula larut. Sejukkan.
5. Ambil blendar, masukkan roti, air dan esen vanila. Kisar hingga semua menjadi halus. Masukkan ke dalam mangkuk besar.
6. Ambil telur tadi dan tapis ke dalam adunan yang sudah dikisar tadi. Ini untuk menapis telur yang tidak hancur.
7. Tuang adunan ke dalam acuan berisi gula karamel yang telah sejuk.
8. Ambil dulang / bekas lebih besar dari acuan tadi dan isikan dengan air panas mendidih sehingga suku dulang.
9. Letakkan acuan puding ke dalam dulang berisi air panas dan masukkan ke dalam oven.
10. Masak selama 45 minit atau sehingga masak. Puding kelihatan pejal apabila sudah masak.
11. Keluarkan dari oven dan sejukkan sebelum dipotong. Ini untuk mengelakkan puding pecah semasa potong waktu panas. Siap.
#pudingrotikaramel
#gulahangus
Ulasan
Catat Ulasan