Bread Apple Butter Pudding
Bread Apple Butter Pudding
Assalamualaikum. Selamat malam 🌹. Bersiaran dalam gulap gulita di awal pagi. Perut tak berapa nak lapar tapi memandangkan makanan banyak terhidang di depan mata, maka tak kan nak tengok tanpa menjamah apa-apa kan? Paling kurang pun kita boleh la rasa sup cendawan semangkuk. Tadi elok je masa tengah layan drama pukul 7 petang Jangan Benci Cintaku yang diulang tayang pukul 12.30 tengah malam sambil-sambil menghirup sup, tetiba semua lampu terpadam. Dan ofkos lah cite kat tv pun dah jadi hilang serta merta. Yang tinggal tv kotak yang hitam legam je.
Alamak!! Elektrik takde la pulak time macam ni. Dah lah cite ni banyak kali ter'miss' masa pukul 7 petang. Time awal pagi ni lah kita nak qada' balik mana-mana yang ter'miss'. Apakan daya, takde rezeki kita malam ni nak layan drama pepagi buta. Nasib baik lah rumah ni ada lampu emergency. Kalau takde elektrik tetibe macam ni, lampu ni akan auto menyala. Terang lah jugak. Dah macam lampu tidur je cahaya dia. Cuma yang buat kita risau ialah bab panas membahang je lah sebab kipaskan tak dapat berpusing time macam ni. Kesian pula kat anak-anak yang tengah lena tido. Maknya memang jenis tak berkipas pun takper. Jenis tak tahan sejuk 😆.
Sementara kita menunggu elektrik ada balik, baik kita postkan menu yang kita dah cuba hari tu iaitu Bread Apple Butter Pudding. Wallah...memang panjang lebar nama menu kali ini. Walaupun namanya panjang, tapi rasanya sangat-sangat sedap. Memang resepi ni wajib di simpan dan repeat di masa akan datang. InsyaAllah... Tak pernah terlintas pun kita nak gunakan buah epal di dalam bread pudding. Selalu kita biasa melihat kismis, cranberi, coklat cip atau pisang je dalam puding roti. Tapi kali ini memang satu kelainan tapi hasilnya memang kebabom. Sedap dan cair dalam mulut.
Permukaaan bread pudding ini manis tapi tidak terlalu manis dan rangup disebabkan gula yang sudah tercaramel semasa proses pembakaran tadi. Bahagian bawah pudding pula, rasanya sangat lembut dan lemak berkrim disebabkan penggunakan krim masakan dengan campuran susu segar. Hirisan epal masih rangup walaupun sudah dibakar di dalam oven. Memandang stok epal masih dalam rumah ni, kita pun apalagi... wajiblah mencuba resepi baru ni dan hasilnya tidak sia-sia. Bagi pendapat kita, penggunaan butter yang berkualiti sangat penting untuk menu ini. Ini kerana rasa, butter yang berkualiti akan menghasilkan puding berlemak, berkrim, dan bau yang lebih harum.
Krim masakan boleh digantikan dengan susu cair cuma rasa dan baunya akan berubah sedikit kerana krim masakan akan menghasilkan bau susu yang lebih dan membuatkan puding berlemak. Jika kita menggunakan susu cair, pastikan kurangkan sedikit sukatannya kerana ia akan menghasilkan bahan basah yang berlebihan kerana epal juga akan menghasilkan air semass proses pembakaran nanti. Penggunaan roti pun boleh dilebihkan atau dikurangkan bergantung pada saiz loyang atau bekas yang digunakan. Kali ini kita menggunakan bekas kaserol bersaiz 6' x 9' x 3'. Kita agak-agak je saiz bekas ni sebab kita tak ukur betul-betul pun saiz bekas tu.
Resepi puding ini sebenarnya resepi yang bebas dan kita boleh mengubah mengikut keperluan dan kehendak kita sendiri. Jadi tak perlu risau tentang betul atau salah kerana akhirnya kita juga akan menjamah hasil air tangan kita sendiri. Paling penting, sebelum bermula bacalah Bismillahirrahmanirahim dan Alhamdulillah setelah berjaya menghasilkan puding yang enak ni.😊.
Resepi daripada blog Bisous A Toi.
Bahan-bahan:-
- anggaran lebih kurang 8 ke 10 keping roti sandwich putih ( dipotong pada 9 bahagian untuk setiap keping)
- 350 ml susu segar *
- 200 ml krim masakan (heavy cream / whipping krim) *
- 1 sudu kecil esen vanila *
* dicampur bersama dan dipanaskan menjadi suam sahaja. Bukan untuk dididihkan atau di'simmer' kan.
- 75 gram gula kastor
- 3 biji telur saiz A
- kismis secukupnya
- 1 biji epal fuji ( hiris nipis ) - gunakan 2 biji epal fuji
- 60 gram butter SCS unsalted sejuk ( didadukan )
Cara-cara:-
1. Campurkan gula kastor dan telur ke dalam mangkuk. Pukul telur dan gula hingga gula larut dan sebati.
2. Ambil dulang pembakar / bekas kaserol dan susun roti yang telah dipotong tadi sebagai dasar untuk puding.
3. Kemudian, lapiskan pula dengan hirisan epal di atas roti tadi. Seterusnya taburkan kismis di atas lapisan epal tadi. Ambil butter yang didadu dan tabur di atas kismis pula. Gunakan separuh butter sahaja yang didadu tadi.
4. Seterusnya susun lebihan roti dan ulang langkah 2 dan 3 hingga semua bahan habis.
5. Campurkan adunan susu dan telur tadi dan kacau sebati. Tuangkan adunan basah ke dalam bekas kaserol dan rehatkan selama 15minit supaya roti dapat menyerap semua susu tadi.
6. Menggunakan kaedah double boiler iaitu menggunakan 2 dulang dan tuangkan separuh ketinggian dulang pertama dengan air panas ke dalam pada dulang pertama. Kemudian letakkan bekas puding di dalamnya dan bakar pada suhu 170°C selama 1jam untuk permukaan yang garing atau selama 45-50 minit. Bergantung pada oven dan saiz bekas.
7. Sejukkan terlebih dahulu barulah puding boleh dipotong. Hidangkan bersama krim putar atau aiskrim kegemaran. Siap.
Salam
BalasPadam