Cucur Pisang Kelapa


Cucur Pisang Kelapa Gebu

Assalamualaikum. Selamat pagi 😊. Pagi-pagi lagi tv dah di 'on' sejak Zara tak pergi sekolah sejak seminggu ni. Ibunya pun dah terjoin cerita pororo pulak pepagi ni..😆. Habislah kerja rumah sume kene delay kejap. Bukan anak je yang minat cite kartun ni, ibu dia pun bleh join korum anak-anak sekali tau..kekadang ibu pulak yang dah setting reminder untuk tengok cite doraemon..hehe. Maklumlah cite fav sejak zaman skolah rendah lagi sampailah dah anak dua ni. Cite yang memang tak lapuk dek zaman dan sekarang ni dah ada movie pula. Layannn 😊.
Menu kali ini menu biasa aja. Mak-mak yang dah dalam kategori expert mesti tak layan post ni..hehe. Cucur pisang aje untuk kali ini. Cuma kali ini kita tambahkan kelapa didalamnya. Sebelum ini pun kita pernah buat cucur pisang DiSiNi. Cuma masa tu cucur pisang yang dibuat mengikut stail mak di kampung. Simple je dan bahan yang digunakan pun tak banyak. Kali ini proses dia ada sedikit penambahan dan memakan masa sedikit untuk membuatkan cucur pisang kelapa kita menjadi rangup diluar tapi lembut di dalam. Yumm...😍
Seumur hidup kita, apabila kita tahu je adanya kelapa parut didalam sesuatu kuih itu, mesti kita tak akan memakannya. Pendapat kita hanya golongan macam mak kita je yang sukakan kuih stail sebegini.Tapi hari tu tah kenapa kita tergerak hati untuk menambahkan kelapa putih di dalam adunan cucur pisang. Apabila kita merasa cucur pisang kelapa yang panas dan rangup, woww!!!! Memang terbaik. Sedap, berlemak dan manis tak keterlaluan. Yang paling kita tak sangka, Zara sukakannya. Habis jugak 3 cucuk tau. Lega betul hati ibu bila tengok Zara sukakan cucur jenis ini.
Dalam post sebelum ini, kita pernah bagitahu tentang tips dan menu cadangan untuk lebihan pisang yang sudah masak ranum. Semuanya ada DISINI. Cucur pisang kelapa kali ini pun kita gunakan pisang frozen je. Mudah dan cepat. Paling penting rasanya tetap sama macam yang segar. Disebabkan ibu terlebih rajin nak mencuba resepi berkaitan pisang, maka dah habis pulak pisang frozen dalam peti ais tu. Kebanyakkan resepi yang menggunakan pisang hampir kesemuanya memerlukan pisang yang dilenyek. Jadi pisang frozen memang sangat sesuai untuk resepi-resepi yang pernah kita kongsikan sebelum ini.
Kalau selalu kita buat cucur pisang @ jemput pisang @ nama glamornya iaitu cekodok pisang mesti akan bulat cantik apabila di dalam kuali tetapi kempis apabila di toskan minyaknya. Kalau nakkan cucur pisang yang bulat walaupun sesudah sejuk, penggunaan soda bikarbonat, tepung beras dan sedikit minyak adalah wajib. InsyaAllah cucur pisang akan menjadi bulat, rangup di luar dan lembut di dalamnya. Kali ini kita menggunakan resepi yang kita sendiri olah hasil mencuba resepi-resepi di gugel sebelum ini. Kalau nakkan hasil yang cantik, sejukkan dalam peti ais semalaman atau biarkan selama 20 minit sebelum menggoreng.

Resepi Cucur Pisang Kelapa

Bahan-bahan:-

- 1 1/2 cawan pisang emas yang masak ranum (dilenyek)
- 3/4 cawan tepung gandum
- 1/4 cawan tepung beras
- 2 sudu besar gula perang (jika pisang tak berapa manis)
- 2 sudu besar minyak masak
- 1/4 cawan kelapa parut putih @ muda
- 1/2 sudu teh garam
- 1 sudu teh soda bikarbonat

Cara-cara:-

1. Campurkan semua bahan di atas dan gaul hingga sebati.

2. Masukkan dalam mangkuk atau bekas berpenutup dan tutup dengan plastik wrap. Simpan adunan pisang di dalam peti ais semalaman. Seeloknya jika mahu jadikan cucur pisang sebagai breakfast, sebelah malam bolehlah siapkan adunan terlebih dahulu.

3. Keluarkan dari peti ais 10 minit sebelum bermulanya proses menggoreng.

4. Panaskan minyak sehingga betul-betul panas dan jemput-jemputkan dengan tangan supaya adunan menjadi bulat. Goreng di dalam minyak yang banyak supaya cucur menjadi rangup dan bulat.

5. Goreng cucur hingga menjadi warna coklat sedikit gelap. Jangan lupa balik-balikkan cucur supaya warna cucur menjadi sekata masaknya.

6. Toskan minyak dan siap.

Ulasan

Catatan Popular