Sandwish Telur & Keju
Sandwish Telur & Keju
Assalamualaikum. Selamat pagi 🌹. Hari ni kita kongsi menu yang biasa dimakan sewaktu breakfast atau minum petang (tea time). Jika kita pergi ke stesen minyak, kedai roti atau supermarket mesti kita terjumpa pelbagai jenis sandwish telur. Tapi berbeza-beza harga pula yang dijual untuk setiap tempat. Kebiasaan yang terjual di atas rak-rak roti itu menggunakan roti sandwish putih. Jika mahukan sandwish roti wholemeal selalunya harga akan jauh lebih mahal berbanding sandwish telur biasa.
Untuk membuat roti sandwish telur berkeju ini sangat mudah dan fleksibel sebenarnya. Yang penting kene rajin dan bahan untuk membuatnya cukup di dapur. Kalau kita malas untuk membuat pada waktu pagi, kita boleh membuat inti sandwish disebelah malamnya. Keesokkannya cuma perlu sapu inti pada roti, potong dan siap untuk dihidang. Kita lebih suka roti tidak terlalu kering atau terlalu lembab. Jika kita letak inti pada sebelah malamnya, sedikit sebanyak roti akan menyerap lembapan inti dan membuatkan roti sedikit lembab. Jika roti tidak dibalut dengan cling wrap, roti akan kering dan rasanya tidak akan segar dan sedap macam yang baru dibuat.
Sebelum terlupa, kita nak ucapkan selamat berpuasa pada yang berpuasa pada hari arafah ini. Semoga segala kebaikan dan kebajikan yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT. Aaaminn. Masa berlalu memang sangat kejap. Cuma tinggal beberapa hari je lagi kita akan bertemu penghujung bulan 8. Mesti sekarang ni ramai yang dah mulakan perjalanan hendak balik ke kampung. Esok kan dah raya. Tahun ini kita ingatkan nak beraya di rumah sahaja. Tapi last minit en.husben bagi arahan suruh packing semua baju untuk balik beraya ke kampung. Rasanya ini tahun ke 2 atau ke 3 kita beraya haji di kampung sebelah pantai timur. Alhamdulillah, tahun ini kita ada rezeki daging untuk dibawak balik ke rumah nanti.
Jadual sememangnya akan menjadi sedikit padat apabila masuknya bulan September nanti. Awal bulan nanti kita dah di arahkan oleh mak tersayang untuk hadirkan diri ke kenduri sedara. Selepas itu bermulalah fasa cuti bagi kita dan anak-anak sebabnya dah dekat sangat dah tarikh perkahwinan adik bongsu di kampung. Apa yang paling excited ialah adik-adik di perantauan akan pulang ke tanah air juga. Kali ini insyaAllah akan lengkap semuanya berkumpul setelah hampir 3 tahun tak berjumpa. Tak sabar nak tunggu cik ngah, pak lang dan mak lang sebenarnya. Last jumpa masa raya puasa tahun lepas. Cik ngah pula last jumpa masa awal tahun lepas. Bolehlah berborak panjang dan bercuti sama-sama di rumah mak tersayang nanti 😊.
Resepi Sandwish Telur Berkeju
- roti sandwish putih secukupnya
- 3 biji telur yang sudah direbus
- 1 sudu besar mayonaisse
- 1 sudu besar thousand island
- secubit garam
- sedikit gula
- 1/4 cawan timun yang dipotong dadu (dibuang biji)
- 1/4 cawan tomato dipotong dadu (dibuang biji)
- 1 sudu teh serbuk lada hitam
- beberapa kepingan keju cheddar
- sedikit butter untuk sapuan
Cara-cara:-
1. Mula-mula parutkan telur yang direbus sehingga semuanya selesai. Ini memberi texture gebu dan mudah untuk sapu pada roti nanti. Kalau nak lenyekkan pun boleh juga cuma telur akan hancur dalam keadaan tidak sekata.
2. Masukkan semua bahan lain dan gaul sebati.
3. Sapukan roti dengan butter lembut pada sebelah bahagian sahaja.
4. Letakkan lebih kurang sesudu inti telur di atas sapuan butter tadi.
5. Ratakan inti hingga kesemua bahagian roti. Letakkan keju di atasnya dan tutup keju dengan kepingan roti yang telah disapu bersama dengan butter.
6. Potong sandwish kepada 2 bahagian dan siap untuk dihidang.
Ulasan
Catat Ulasan