Mihun Goreng Black Pepper


Mihun @ Mee Hoon Goreng Lada Hitam


Assalamualaikum. Selamat petang 🌹. Sambil-sambil melayan kartun Mini Force fav anak-anak, baik ibu curi masa sikit menaip post terbaru iaitu Mihun Goreng Black Pepper. Sebenarnya plan asal untuk membuat mihun goreng singapore tapi apakan daya kita terlalu rajin meng'otter' bahan-bahan dalam resepi, maka terjadilah resepi mihun goreng bersama lada hitam.



Ibu ingatkan Zara suka makan mihun goreng black pepper ni, tapi nampaknya dia tak tahan pedas black pepper rupanya. Sama macam papanya la pulak. Kalau ibu tahu, ibu dah goreng mihun goreng cili padi je. Sekuali jugak ibu jenuh nak menghabiskannya. Dah la lama tak menggoreng mihun, jadi macam janggal sikit bila part nak kacau dalam kuali. Kuali pulak bukan kuali yang selalu kita gunakan pulak tu. Nasib baik sedap sebab ibu sememangnya peminat black paper terutama lada hitam yang dihancur kasar.



Jika kita mahu menggunakan mihun, pasti kita akan membeli mihun jenama jasmine. Mihun jenama ini tidak mudah hancur dan senang untuk dimasak. Hanya rendam mihun dengan air sejuk atau paip je hingga mihun lembut dan berwarna putih. Toskan sekejap atau boleh je angkat mihun terus dari rendaman air masuk terus ke dalam kuali. InsyaAllah, mihun akan cantik dan tidak putus. Semasa menggoreng, bolehlah diletakkan sedikit air jika mihun masih kenyal lagi. Hanya untuk mengstimkan mihun sahaja dan mempercepatkan mihun masak. Air jangan terlalu banyak nanti mihun akan cepat lembik dan mudah hancur.



Sebaik-baiknya kita gunakan air yang telah dicampur dengan garam. Nanti tak perlu diletakkan garam lagi dan perasanya akan lebih sekata. Sayur-sayuran mudah masak seperti taugeh dan daun sawi hanya dimasukkan pada proses terakhir kerana jika kita masukkan awal-awal, nanti taugeh akan menjadi lembik dan hancur pula. Mesti tak sedap nak makan jika taugeh sudah lembik dan tidak rangup lagi.




Resepi Mihun Goreng Lada Hitam


Bahan-bahan:-

- 1/2 bungkus mihun jenama Jasmine
- 1 cawan udang
- 5 biji fishball
- 1 sudu teh biji lada hitam ditumbuk kasar
- 1 sudu teh serbuk lada sulah
- sedikit serbuk lada hitam
- 1 cawan taugeh
- 1 cawan sawi
- 1 cawan carrot di hiris memanjang
- 2 sudu besar sos tiram
- 3 ulas bawang putih *
- 2 ulas bawang merah *
- 1 biji bawang holland *
- 1 sudu besar udang kering direndam sekejap *
* ditumbuk kasar
- 2 biji telur di goreng dadar dan dihiris memanjang
- garam dan perisa

Cara-cara:-

1. Panaskan sedikit minyak di dalam kuali dan tumis bahan tumbuk hingga sedikit garing.

2. Masukkan udang dan fishball dan masak sekejap. Masukkan sedikit air.

3. Letakkan serbuk lada hitam kasar, serbuk lada sulah, perisa, sos tiram, garam dan serbuk lada hitam. Gaul rata.

4. Masukkan bihun yang sudah direndam dan gaul semua hingga sebati.

5. Apabila mihun telah masak, masukkan semua sayuran tadi dan masak sawi sedikit layu. Tutup api dan taburkan hirisan telur dadar ke dalam kuali. Siap.


#mihungorengblackpepper
#blackpepperricevermicelli

Ulasan

Catatan Popular