Spagetti Butter Chicken


Spagetti Butter Chicken


Assalamualaikum. Selamat Hari Raya Aidiladha 🌹. Tahun ni giliran kita beraya di rumah mertua pula. Kalau di sini memang sedikit meriah berbanding beraya di kampung halaman di sebelah selatan sana. Sana sini kita boleh tengok orang mengerjakan ibadah korban. Alhamdulillah, tahun ini kita sekeluarga dapat turut serta mengerjakan ibadah korban dengan bantuan adik tersayang. Kebetulan, orang di kampung pun ramai mengerjakan ibadah korban, jadi ada juga rezeki untuk menikmati daging korban serta bekalan untuk di bawa ke rumah nanti.


Walaupun kita bercerita tentang daging tapi post kali ini takde kena mengena tau dengan daging lembu. Post kali ini khas untuk peminat makanan western seperti kita iaitu Spagetti Butter Chicken. Mesti ada yang rasa pelik dengan post kali ini kan? Selalunya Butter Chicken dimasak sebagai lauk. Tapi kali ini kita gabungkan ia dengan spagetti dan rasanya sangat sedap  sekali. Sebaik-baiknya kita makan menu ini panas-panas dan masak dalam kuantiti yang kecil kerana apabila sudah sejuk, kuah butter akan menjadi pekat akibat cheese yang sudah sejuk.


Resepi Spagetti Butter Chicken ini sebenarnya kita pernah kongsikan di IG menudapozati tapi masa tu kita gunakan fettucini. Kali ini kita gunakan pasta spagetti pula dan rasanya tetap sedap juga. Mungkin pada masa akan datang, kita akan menggunakan pasta yang berbentuk spiral atau yang boleh menyaluti sos butter dengan lebih baik lagi. Jika tidak sukakan ayam disaluti dengan sos butter, boleh sahaja taburkan ayam goreng diatas pasta nanti dan makan bersama ayam goreng rangup.


Penggunaan cili padi, keju cheddar dan susu cair juga bergantung pada citarasa individu. Sukakan pasta yang pedas, lebihkan cili padi. Jika mahu jadikan menu untuk anak-anak, abaikan penggunaan cili padi di dalam resepi ini dan sudah tentu anak-anak lebih sukakan makanan yang berlemak bersama ayam goreng rangup. Kepingan keju cheddar juga boleh digantikan dengan parutan keju cheddar atau mozarella jika sukakan efek keju yang boleh ditarik.


Resepi Spagetti Butter Chicken
Bahan-bahan:-

- spagetti untuk 2 orang.
- 1 sudu besar garam
- sedikit minyak
- air untuk merebus secukupnya

Cara-cara:-

1. Penuh air sebanyak setengah periuk bergantung pada kuantiti spagetti yang hendal dimasak.

2. Didihkan air bersama garam dan minyak masak.

3. Apabila air sudah mendidih, letakkan spagetti dan tutup dengan tudung periuk selama 5 minit.

4. Pastikan spagetti dimasak al-dente sahaja iaitu spagetti yang hampir masak. 

5. Simpan air rebusan tadi sebanyak 1/2 cawan dan toskan spagetti tadi. Ketepikan.

Bahan untuk ayam goreng:-

- 2 ketul paha ayam yang sudah dibuang tulangnya dan dipotong dadu.
- 1/2 cawan tepung jagung
- 1/2 cawan tepung beras
- sedikit lada sulah
- sedikit garam

Cara-cara:-

1. Perap ayam bersama sedikit garam dan lada sulah selama 1 jam di dalam peti ais.

2.Campurkan semua bahan kering dan gaul sebati.

3. Campurkan ayam yang sudah diperap tadi bersama campuran tepung.

4. Goreng dalam minyak yang panas sehingga ayam masak dan garing. Toskan minyak dan ketepikan.

Bahan sos :-

- 3 sudu butter
- sedikit minyak zaitun
- 4 biji cili padi
- 1 pelepah daun kari
- 3 ulas bawang putih dicincang halus
- 1/2 cawan susu cair
- sedikit garam
- sedikit lada hitam dan lada sulah
- 1 keping keju cheddar 

Cara-cara:-

1. Panaskan kuali dan letakkan butter bersama sedikit minyak zaitun.

2. Tumiskan bawang putih, daun kari dan cili padi sehingga berbau harum.

3. Tuang susu cair dan letakkan sedikit garam, lada sulah dan lada hitam. Kacau sebati.

4. Masukkan air lebihan pasta tadi dan biarkan mendidih.

5. Masukkan pasta tadi dan masak selama 2 minit. Tutup api.

6. Segera masukkan keju cheddar dan ayam yang telaj digoreng tadi. Kacau hingga sebati. Siap untuk dihidang.

Ulasan

Catatan Popular