Sotong Lada Hitam


Sotong Masak Lada Hitam


Assalamualaikum. Selamat petang 🌹. Berhampiran kawasan rumah kita ni cawangan terbaru D.I.Y baru je dibuka. Memang kedai yang wajib dikunjungi setiap kali waktu gaji masuk selain daripada kedai RM2. Kalau tak memborong memang tak sah 😆. Sekarang kedai dah makin dekat, maknanya makin bertambah kerap lah kita berkunjung ke sana walaupun hanya untuk mencuci mata.




Kali ini kita ingin berkongsi satu resepi yang memang sedap dan sesuai bagi sesiapa yang sukakan lada hitam. Menu kita untuk kali ini ialah sotong masak lada hitam atau black pepper squid. Kalau lauk sebegini dihidang sewaktu musim hujan yang sejuk suasananya, memang kekabom habis. Kita memang tak cari lauk lain dah sebab makan lauk sotong ni je dah cukup bagi kita.



Lain orang lain caranya untuk memasak lauk sotong. Ada sesetengah orang kurang menggemari lauk sotong yang berkuah. Bagi yang sukakan lauk sotong tiada kuah, bolehlah digoreng tanpa minyak (sangai) sebentar sotong tersebut sebelum proses memasak yang seterusnya. Ini untuk membuang air sotong yang berlebihan pada sotong. Tapi bagi sesiapa yang sukakan kuah, sotong boleh dimasak terus tanpa digoreng terlebih dahulu. Sotong akan mengeluarkan airnya nanti dan kuah akan terhasil dengan sendirinya.


Tips untuk membuat sotong tidak lembik dan liat setelah masak ialah merendam sotong di dalam air ais setelah sotong disiang. Pastikan sotong sudah dibersihkan terlebih dahulu. Kemudian direndam dalam air sejuk berais. Masukkan ke dalam peti ais bawah terlebih dahulu semasa proses penyediaan bahan lain. Keluarkan dari peti ais apabila hanya untuk memasukkan sotong ke dalam kuali. InsyaAllah sotong akan kenyal dan lembut setelah masak. Lagi satu, jangan masak sotong terlalu lama nanti sotong akan menjadi liat.






Resepi Sotong Masak Lada Hitam

Bahan-bahan:-

- 300 gram sotong (anggaran lebih kurang 1 1/2 cawan)
- 3 biji bawang merah *
- 3 ulas bawang putih *
- 1 biji cili merah *
* ditumbuk
- 1 biji bawang holland dipotong gelang
- 2 biji tomato bersaiz kecil dibelah 4
- 3 sudu besar sos lada hitam
- 1 sudu besar sos tiram
- 1 sudu besar kicap manis
- 1 sudu besar lada hitam ditumbuk kasar
- garam secukupnya (jika perlu)
- 1 sudu besar tepung jagung dibancuh dengan setengah cawan air (jika perlu)
- daun bawang untuk hiasan

Cara-cara:-

1. Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk hingga wangi dan sedikit garing.

2. Masukkan semua sos dan serbuk lada hitam. Kacau rata.

3. Kemudian masukkan pula tomato dan hirisan bawang. Kacau sebentar dan terus masukkan sotong.

4. Jika air terlalu banyak, masukkan bancuhan tepung jagung dan garam jika perlu. Biarkan mendidih sebentar.

5. Taburkan daun bawang dan tutup api. Siap untuk dihidang.

Ulasan

Catatan Popular