Kentang Senyum


Kentang Senyum - Smiley Potato


Assalamualaikum. Selamat pagi 🌹. Alhamdulillah, cuaca cerah pagi ini. Suka sangat berjemur ala minah salleh pepagi macam ni sambil-sambil buat rondaan keliling pokok cili padi. Akhirnya selepas 2 tahun kot, baru pokok cili padi ni membesar, meninggi ke paras pinggang. Dulu tinggi bawah paras lutut je masa kita tanam di rumah lama. Sekarang dah berbunga-bunga dan dah mula menghasilkan cili padi fresh. Ingatkan pokok tu pokok cili besar, rupanya pokok cili padi.


Tips kalau nak tanam pokok cili mula dari biji benih ialah apabila pokok cili dah tumbuh menjadi anak pokok, kene rajin-rajin siram tapi jangan over sangat sampai tanah terlalu lembab. Nanti pokok cili akan kene jangkitan kulat putih. Kalau dah kene kulat tu, daun-daun wajib dibotakkan dan jemur pokok pada cahaya matahari sepenuhnya terutama pada waktu pagi. InsyaAllah, nanti pokok akan tumbuh sihat dengan jayanya. Sekali seminggu siramlah tanah dengan air basuhan beras. Baja organik yang bagus untuk tanaman seperti pokok cili.



Berbalik pada post ini, kali ini kita buat menu khas untuk si cilik. Memang laju je Zara makan terutama bila dia nampak kentang goreng ni ada bentuk bintang dan bunga. Bagus untuk si cilik yang tak berapa mahu makan nasi. Kentang goreng ini jauh lebih elok dan berkhasiat berbanding kentang goreng di luar sana. Saiz untuk membuat kentang senyum ni pun terpulang pada saiz kegemaran masing-masing. Macam Zara, dia lebih suka pada makanan bersaiz kecil. Jadi ibu kenelah terap bintang bersaiz kecil. Kira-kira bite size je. Sekali ngap dah habis dah.

Smiley potato ni kali ketiga kot kita buat. Kali pertama masa tahun lepas. Masa tu kita buat saiz bola lisut je. Memang besar tapi masa tu ibu saja nak buat experiment je. Menjadi dan sedap. Kali kedua kita buat, smiley potato agak lembik dan kentang senyum tu dah tak senyum dah. Dah macam-macam rupanya dah. Ada yang masam, macam hantu pun ada dan yang muka dia berjerawat batu pun ada. Memang kelakar habis time nak makan. Nasib baik time tu anak tak pandai komplen lagi. Kalau tak, mau ibu nyorok dalam dapur..hehe. Kalau nak buat banyak2 pun boleh, nanti bolehlah di frozenkan. Tapi smiley potato hendaklah di goreng sekejap sahaja untuk mengelakkan kentang hancur apabila kita defrose nanti.



Tips untuk membuat smiley potato ini adalah rebus kentang hingga masak. Lenyekkan kentang semasa kentang masih panas lagi. Jika lenyek semasa sejuk, nanti susah pulak nak jadikan kentang rebus menjadi macam mash potato. Masukkan tepung apabila kentang sudah betul-betul sejuk. Jika tidak, adunan akan terlebih tepung dan lembik je. Acuan hendakkan secelupkan dalam tepung sebelum proses menerap dilakukan. Kalau tak, nanti habis adunan kentang melekat pada acuan. Paling penting, goreng pada api sederhana je kalau tak nanti kentang senyum anda akan jadi pelbagai etnik dan berjerawat batu 😆.

Resepi dari Fb Ayza Nur ( Masak Apa Hari Ni )

Bahan-bahan:-

- 4 biji kentang saiz sederhana
- 4 sudu besar tepung gandum
- 4 sudu besar tepung jagung
- 4 sudu besar serbuk roti
- 1 kiub pati ayam ( gantikan 1/2 kiub ikan bilis )
- garam secukupnya

Cara-cara:-

1. Mula-mula potong kentang bersaiz dadu. Masukkan kentang di dalam periuk dan penuhkan air hingga paras kentang sahaja.

2. Letakkan kiub ikan bilis dan mula panaskan periuk hingga kentang empuk. Cara untuk mengetahui kentang sudah empuk, cucuk menggunkan garfu atau pisau, jika mudah untuk menembusi kentang itu, maka masaklah sudah kentang tadi. Jika boleh, biarkan air hingga tinggal sedikit bagi membolehkan kentang betul-betul lembut.

3. Dengan menggunakan garfu atau pelenyek burger, hancurkan kentang hingga semuanya hancur dan sejukkan.

4. Masukkan semua bahan kering lain dan gaul hingga menjadi doh. Jika terlalu lembik, bolehlah tambahkan sedikit tepung jagung.

5. Taburkan landasan dan penggelek dengan sedikit tepung. Celupkan juga acuan dengan tepung jagung.

6. Gelek doh hingga menjadi setebal 1/2 inci. Terap acuan kegemaran dan buat hingga habis. Gunakan straw untuk membuat mata dan sudu untuk membuat mulutnya.

7. Panaskan minyak dengan sederhana panas. Goreng sehingga kentang menjadi kuning keemasan. Toskan minyak dan siap.

Ulasan

Catatan Popular