Sambal Kentang Rangup
Sambal Kentang Rangup - Crispy Potato Sambal
Assalamualaikum. Selamat berpuasa bagi yang berpuasa 🌹. Alhamdulillah, hari ni dengan nekadnya berniat nak berpuasa 6 akhirnya. Mudah-mudahan dapat selesaikan puasa 6 nanti dengan lancarnya. Macam-macam dugaan nak mulakan puasa 6 tahun ni. Rasa happy sangat dapat juga mulakan puasa hari ni 😊.
Post kali ini sememangnya lauk kegemaran kita kalau tiba bab puasa ni. Mudah, lazat dan kalau takde nasi pun kita boleh ratah macam tu je. Kentang goreng tu rangup dan bersira pula dengan sambal memang ngamm. Ini kali pertama kita buat kentang goreng rangup macam ni. Selalu kita potong kentang belah 4 je. Walaupun takde mandolin, gigih hiris senipis mungkin. Alhamdulillah, menjadi juga kerangupannya.
Pejam celik pejam celik kita dah pun melangkah ke bulan Julai. Proses mengemas rumah selepas berpindah pun dah nak selesai. Perancangan awal nak habiskan proses mengemas ni sebelum raya. Tapi apakan daya, masa bulan puasa nak menguruskan kain, barang-barang dapur, mainan anak dengan anak lagi sememangnya tak termampu kudrat ni. Memang dah rasa macam kerja buruh je rasanya.
Masa jalan raya hari tu, dapat juga kita cuci mata melihat rumah sanak saudara dan apa yang menariknya tahun ini tahun demam wallpaper. Boleh katakan semua rumah yang kita pergi mesti bertampal dindingnya dengan wallpaper. Mak kita pun dah kene demam wallpaper. Memang berseri habis dinding rumah kampung tahun. Rumah kita je tak bertampal lagi. Abah kata, mak berwallapaper bagai ni sebab kita lah pergi mengepost gambar wallpaper dalam wassup hari tu 😆. Tak sangka la pulak mak pun terpukau juga dengan gambar-gambar tu 😆.
Alhamdulillah. Rumah kita pun dah nak siap berwallpaper. Dah rasa macam duduk dalam rumah bersuasanakan dalam taman. Penuh dengan corak daun-daun yang kehijauan. Habis jugak lah dalam 30 meter untuk 2 dinding penuh. Ingatkan dapat satu rumah. Tapi kalau tampal penuh semua dinding pun rasa macam serabut je. Dinding lain kita tampal separuh je. Tak sabar nak tunggu perabot sampai ke rumah ni. Mudah-mudahan segalanya berjalan lancar. Amin.
- 2 biji kentang dihiris nipis dan direndam di dalam air kapur
- 3 sudu besar cili kisar
- 1/2 labu bawang besar *(optional)
- 2 biji bawang merah *
- 3 biji bawang putih *
- 1 inci belacan *
* dikisar bersama
- segenggam ikan bilis dibasuh dan ditos
- 1 keping tempe dihiris nipis (optional)
Cara-cara:-
1. Panaskan minyak di dalam kuali dan goreng ikan bilis terlebih dahulu hingga garing. Ketepikan.
2. Kemudian, goreng tempe yang dihiris nipis hingga garing. Angkat dan toskan minyak.
3. Akhir sekali goreng pula kentang hingga garing. Toskan bersama tempe dan ikan bilis tadi.
4. Tumis bahan kisar hingga wangi. Kemudian masukkan cili kisar pula hingga garing.
5. Perasakan dengan garam dan gula. Apabila sudah sebati rasanya, tutup api dah sejukkan.
6. Apabila sambal sudah sejuk, campurkan bahan gorengan tadi dan gaul rata. Siap.
#sambalkentang
#tempedanikanbilis
Ulasan
Catat Ulasan