Salad Kentang
Salad Kentang - Potato Salad
Assalamualaikum. Selamat berhujung minggu 🌹. Musim panas sudah kembali disini. Alhamdulillah. Musim yang paling kita suka sebab angin yang sepoi bahasa waktu petang macam sememangnya meminta kepala ini disorong bantal empuk. Cumanya geng nyamuk akan membiak dengan jayanyalah sebab nyamuk memang berjaya terbang ke tingkat 3 ni. Mak kata nyamuk ikut kita dari satu tingkat ke satu tingkat. Tapi apa yang peliknya, kita nampak nyamuk tu terbang dari tingkap bilik air yang sememangnya tak ada tangga pun di luar tu. Hurmm 😟.
Jadi untuk mengelakkan pembiakan nyamuk, pastikan tiada air bertakung. Macam kita yang sukakan pokok-pokok menghijau, pastikan air tidak bertakung dalam pasu. Siram bila perlu sahaja. Musim panas macam ni, kita siram selang 2 ke 3 hari je sebab matahari tak masuk sangat di beranda ni. Kalau tak, mau seminggu tak siram. Tanah lembab je sentiasa.
Selalunya orang suka meletakkan telur rebus di dalam salad kentang tetapi kita tak letakkannya sebab kita sudah pun gandingkan hidangan telur bersama roti. Banyak sangat telur pulak nanti 😆. Hidangan simple dan sedap ini sesuai untuk hidangan brunch dihujung minggu. Jika hendak berdiet, sesuai juga untuk hidangan makan malam. Lengkap dengan karbohidrat, protein dan sayur.
Resepi diinspirasi dari blog milyandkehidupan
Bahan-bahan:-
- 3 biji kentang dibasuh dan dibersihkan kulitnya. Dipotong dadu dan direbus hingga empuk.
- 1/2 cawan brokoli di rebus hingga masak dan direndam dengan air ais untuk menghalang proses memasak pada brokoli.
- sedikit garam
- sedikit serbuk lada putih
- sedikit serbuk lada hitam
- sedikit daun parsley kering
- 1 sudu besar butter
- 2 sudu besar sos salad
- 1/2 cili besar dihiris nipis
- daun salad secukupnya
Cara-cara:-
1. Ambil secubit garam, butter, serbuk lada hitam dan putih dan daun parsley kering kemudian ditabur pada kentang yang telah direbus tadi. Gaul sebati.
2. Panaskan oven suhu 170°C. Letakkan kentang ke dalam dulang pembakar dan ratakan. Bakar selama 15 minit atau hingga sedikit garing.
3. Masukkan brokoli dan kentang ke dalam mangkuk. Taburkan serbuk lada hitam dan putih. Gaul rata.
4. Masukkan sos salad dan gaul lagi. Jika ingin pedas, masukkan cili besar yang dihiris. Hidang bersama daun salad. Siap.
#saladkentang
#brunchtime
#menudiet
Ulasan
Catat Ulasan