Cucur Nasi Gebu


Cucur Nasi Gebu



Assalamualaikum. Selamat malam 🌹. Lama dah terperam post ni. Baru malam ni ada masa dan ruang untuk berkongsi dalam blog ni. Walaupun macam-macam ada media sosial ada sekarang ni, blog tetap menjadi pilihan utama kerana kita lebih selesa untuk berkongsi resepi dan paling penting takyah nak risau pasal folower atau orang yang nak difolo. Paling penting, resepi yang dikongsi disini tak ubah macam buku resepi peribadi kita sendiri cuma berbentuk digital. 

Tak macam orang dulu-dulu yang kene tulis dan tampal gambar resepi yang diambil dari majalah atau surat khabar. Lebih mudah dan paling best boleh view dekat mana sahaja tanpa bersusah payah mengangkut buku lagi. Sebelum ini pun dah pernah buat cucur nasi dalam blog ni. Resepi lebih kurang sama cuma tak guna yis je. Resepi cucur nasi ada disini.



Sebenarnya kita dah banyak mencuba membuat cucur nasi tapi resepi kali ini yang paling best dan gebu. Sebelum ni kita buat cucur akan jadi lembik di tengah dan tak berapa sedap apabila cucur dah sejuk. Resepi ni hasil dari inspirasi dari resepi cucur udang. Kalau kita menggunakan udang di dalam cucur ini pasti cucur nasi ini lebih sedap.

Jika ada nasi lebihan, jangan lupa untuk mencuba untuk membuat cucur nasi ini. Kita pun kadang-kadang jemu juga nak membuat nasi goreng. Kita terjumpa tentang cucur nasi ini pun selepas terbaca post di fb dan seterusnya kita menggugel resepi di blog. Semuanya tidak kene dengan selera kita disebabkan kita selalu terlebih air semasa mengisar nasi.



Untuk membuat cucur nasi ini, kita tidak boleh terlebih air sebab cucur akan jadi bantat dan lembik. Memang tak sedap kalau dah jadi macam tu. Jika kita tambahkan tepung pun tetap tidak akan sedap juga dan kemungkinan cucur akan jadi keras kejung.

Semasa hendak mengisar nasi, masukkan air sedikit demi sedikit sahaja hanya untuk menjalankan blendar sahaja. Jika ada food processor lebih baik kerana tidak payah menggunakan air langsung. Terpulang pada citarasa dan kelengkapan masing-masing. Kalau rajin, nak tumbuk nasi dalam lesung pun elok juga.

Resepi Cucur Nasi Gebu

Bahan-bahan:-

- 1 cawan nasi
- 1/2 cawan air
- 1 1/2 cawan tepung gandum
- 1 sudu teh yis
- sedikit air suam
- 1 biji telur
- sedikit garam
- sedikit serbuk kunyit
- 1 biji cili besar dihiris halus
- 1/2 batang carrot disagat halus
- 1 pokok daun bawang

Cara-cara:-

1. Masukkan nasi dan sedikit air ke dalam blendar. Kisar nasi hingga menjadi bentuk pes.

2. Tuangkan pes nasi ke dalam mangkuk. Masukkan tepung sedikit demi sedikit hingga adunan menjadi tidak terlalu lembik dan tidak terlalu keras.

3. Sementaran itu, ambil yis dan masukkan ke dalam sedikit air suam. Biarkan yis mengembang.

4. Apabila yis dah kembang, campurkan yis tadi ke dalam adunan tepung dan nasi tadi.

5. Masukkan pula telur. Gaul rata.

6. Campurkan semua bahan lain seperti carrot yang disagat, daun bawang, serbuk kunyit, garam dan cili besar. Kacau hingga sebati.

7. Panaskan minyak dan rendamkan senduk besi hingga panas. Jangan lupa pakai sarung tangan apabila hendak pegang senduk tadi.

8. Ambil senduk panas dan masukkan adunan cucur ke dalam senduk dan goreng dalam minyak panas. Biarkan sehingga adunan terlerai dari senduk dan ulang hingga semua adunan habis.

9. Masak hingga cucur garing. Toskan minyak dan siap.


#cucurnasi
#caramenghabiskannasilebih

Ulasan

Catatan Popular