Macaroni Bakar


Macaroni Bakar


Assalamualaikum. Selamat petang 🌹. Lama betul tak masak betul-betul. Sebelum ni pun try buat pancake gebu atau American Hotcake dan Roti Rangup Berlauk. Malam ni kita main masak-masak yang betul-betul punya. Kematu jugak lah kaki ni berdiri dekat dapur tu. Bukan apa, nak rebus macaroni lagi, buat sos daging dan sos putih lagi, layan anak lagi, belum pakej kemas dapur lepas berkungfu dalam dapur lagi. Alhamdulillah. Nasib baik husben suka. Dia rajin betul mengulang makan. Malam ni buat, esok habis dah. Lengkap, dinner dengan breakfast sekali 😆.




Sos daging @ sos bolognese ni kalau nak shortcut, pakai je sos prego original. Habis cite. Senang, mudah dan sedap jugak. Terpulang pada kebizian dan kerajinan masing-masing. Bagi kita, kita suka buat sendiri sos bolognese. Homemade style katenya. Kemasinan, kemasaman boleh diejas sendiri. Nak masam lebih, tambah puri tomato. Nak masin lebih, tambah garam atau kiub ayam. 



Resepi diilham dari Buku 365 Resepi Istimewa Chef Hanieliza

Bahan-bahan:

- 2 cawan macaroni - rebus dalam air garam hingga al-dente (hampir masak, rasa sedikit keras)
- 1 biji telur - dikocok
- serbuk lada hitam
- sedikit susu 
- sedikit hirisan lada benggala - optional

Bahan sos bolognese:

- 300 gram daging cincang (jenama Ramly)
- 1 batang lobak merah - disagat halus
- 1 labu bawang holland - dicincang
- stok ayam secukupnya @ 1/2 kuib ayam + 2 cawan air
- sedikit serbuk lada hitam
- sedikit herba itali 
- 1 tin kecil puri tomato
- sebiji tomato - didadu
- sedikit butter untuk menumis
- sedikit minyak untuk menumis

Cara-cara:

1. Masukkan butter dan minyak ke dalam kuali. Tumis bawang holland hingga naik bau atau menjadi lutsinar.

2. Masukkan daging cincang. Kacau rata. Masak hingga daging betul-betul masak. 

3. Masukkan tomato dan juga lobak merah. Kacau sebati.

4. Tuangkan puri tomato dan sedikit air supaya kuah tidak terlalu pekat.

5. Letak serbuk lada hitam, herba itali dan kuib ayam.

6. Masak hingga semua sebati. Perasakan dengan garam jika tidak masin. Siap sos.

Bahan sos putih @ sos cheese :

- 2 sudu besar butter
- 2 sudu besar tepung gandum
- 2 cawan susu segar
- 4 keping slice cheddar
- 1/2 cawan mozzarella parut
- 1/2 cawan edam cheese (optinal)
- sedikit serbuk lada hitam
- garam

Cara-cara:

1. Letak butter di dalam periuk.

2. Apabila butter sudah cair, masukkan tepung dan masak sekejap hingga tepung masak.

3. Masukkan susu segar. Kacau hingga semua gumpalan larut dalam susu.

4. Masukkan sedikit serbuk lada hitam dan garam (jangan banyak sebab cheese sudah masin)

5. Apabila semua sebati, tutup api dan letak semua cheese tadi. Siap sos.

Cara menyediakan macaroni:

1. Gaul macaroni tadi ke dalam sos bolognese. Jangan tuang sepenuhnya sos tadi. Hanya salut pada macaroni sahaja.

2. Tuang macaroni tadi ke dalam acuan pembakar. Sendukkan sedikit sos bolognese di atas macaroni.

3. Letakkan sos putih di bahagian atas sekali.

4. Bancuh telur dikocok bersama susu segar. Tuang di atas sos putih. 

5. Tabur cheese jika mahu. Bakar dalam oven suhu 180°C selama 40minit. Bergantung pada saiz acuan pembakar. Siap.


#macaronibakar


Ulasan

Catatan Popular